Bidang Pengajian Senang Dapat Kerja


Pada 16 Mac 2021, pihak Bank Dunia ada mengeluarkan satu laporan yang bertajuk “Aiming High: Navigating the next stage of Malaysia’s development” (diterjemahkan – Menyasar Tinggi: Mengatur langkah dalam peringkat seterusnya pembangunan Malaysia). Intipati laporan ini adalah berkaitan dengan unjuran pihak Bank Dunia bahawa Malaysia akan melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi pada satu ketika di antara tahun 2024-2028.

Analisis dalam laporan Bank Dunia ini juga turut menyatakan bahawa bagi membolehkan Malaysia berjaya beralih kepada sebuah negara berstatus berpendapatan tinggi dan maju, reformasi atau perubahan ke atas enam sektor yang saling berkaitan yang telah dikenal pasti dalam laporan tersebut perlu dilakukan.  Ianya bagi menggiatkan semula pertumbuhan jangka panjang, meningkatkan daya saing, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, memodenkan institusi, mempromosikan budaya inklusif dan membiayai kemakmuran bersama.

Melihat kepada keadaan semasa dan keperluan masa akan datang, apakah bidang pengajian yang ditawarkan di universiti yang dapat membantu negara beralih kepada status negara maju bila tiba masanya. Apakah bidang pengajian yang senang untuk dapat kerja pada masa kini yang dapat membantu kita mencapai unjuran tersebut? 

college life
Happy young university students studying with books in library. Group of multiracial people in college library.

Apa itu bidang pengajian?

Bidang pengajian biasanya dirujuk sebagai cabang ilmu. Antara bidang pengajian tinggi yang terdapat di Malaysia ialah sains, perdagangan/perniagaan, bahasa, teknikal, kesenian, agama, dan sosial. Cabang-cabang ilmu tersebut boleh dikembangkan lagi. 

Sebagai contoh, bidang pengajian sains merangkumi cabang ilmu sains hayat, sains teknikal/fizikal, kimia dan matematik. Sains hayat misalnya, merangkumi biologi, bioteknologi, perubatan, sains pertanian/agrikultur dan teknologi makanan. 

Sebenarnya senarai ini tidak terhad dan ada banyak lagi cabang ilmu yang tidak disenaraikan di sini.

Bidang pengajian yang senang dapat kerja

Pada masa ini permintaan bidang pekerjaan yang paling tinggi dari majikan yang dikategorikan mengikut turutan ialah:

  • Jualan dan pemasaran
  • Perakaunan dan kewangan 
  • Komputer dan teknologi maklumat 
  • Pentadbir dan sumber manusia
  • Perkhidmatan 
  • Kejuruteraan
  • Pembuatan
  • Bangunan dan pembinaan 
  • Hotel dan restoran
  • Seni media dan komunikasi
  • Pendidikan dan latihan
  • Penjagaan kesihatan dan sains

 Secara ringkasnya, lima bidang pekerjaan yang paling popular yang disenaraikan diatasmenawarkan beribu-ribu kekosongan jawatan.

Komputer dan teknologi maklumat

Kemajuan teknologi membolehkan bidang sains komputer kekal sebagai bidang paling popular dan menjadi permintaan tinggi dalam kalangan majikan. Walaupun dengan kebanjiran ramai graduan sains komputer, bidang ini masih memerlukan lebih ramai lagi pekerja yang mempunyai kepakaran dan kemahiran pengkomputeran dalam pelbagai sektor pekerjaan. Ini kerana wujudnya ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan. 

Kemahiran seperti pembangunan aplikasi, blok rantai (blockchain) dan perekaan aplikasi mudah alih popular dalam pelbagai bidang, membawa kepada persaingan sengit antara industri kerana majoriti daripadanya hanya mengupah pekerja dari kumpulan bakat yang terhad.

Selain itu, peningkatan pendigitalan juga telah mewujudkan keperluan untuk lebih ramai pakar keselamatan siber. Ini amat ketara dalam sektor teknologi kewangan dan perbankan digital. Satu lagi isu yang menyumbang kepada permintaan yang tinggi adalah kekurangan profesional pengkomputeran yang diperakui. 

Walaupun kebanyakan syarikat hanya memerlukan calon yang memiliki Ijazah dalam Sains Komputer, Teknologi Maklumat, atau Kejuruteraan Perisian, tetapi ada yang menuntut pensijilan profesional dalam bidang tertentu.

What is a programmer
Photo by Patrick Amoy on Unsplash

Pentadbir dan sumber manusia

Bahagian ini menyediakan khidmat sokongan kepada bahagian/unit lain dalam bidang pengurusan dan pembangunan sumber manusia termasuk perkhidmatan pembangunan organisasi, pembangunan sumber manusia, kenaikan pangkat, pengurusan tatatertib serta keperluan latihan.

Di samping itu, bahagian ini akan menyelaras dan memberikan khidmat sokongan kepada bahagian/unit lain bagi memastikan kelancaran aktiviti syarikat atau organisasi.

Kejuteraan

Walaupun populariti bidang kejuruteraan telah merosot berbanding tahun-tahun sebelumnya, ia masih bidang yang popular. Menurut TalentCorp, permintaan untuk jurutera masih kukuh dan majikan mencari jurutera yang bertauliah dan mempunyai kemahiran khusus. Talent Corporation Malaysia Berhad ialah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang bertanggungjawab menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran dalam menyokong pembangunan Malaysia. 

Walaupun terdapat ramai jurutera awam, kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman yang diperlukan dalam menangani keperluan kejuruteraan tertentu. Ini membawa kepada permintaan segera untuk jurutera khusus seperti jurutera geoteknikal, jurutera hidraulik, dan jurutera struktur.

Industri tertentu juga memerlukan pensijilan khusus untuk bekerja dalam industri berkenaan (contoh jurutera wap mesti disahkan oleh badan berkuasa yang berkaitan). Syarikat-syarikat kini sedang bergelut untuk mencari bakat yang dapat memenuhi keperluan tersebut.

Anda memerlukan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda untuk bekerja sebagai ahli profesional dalam industri kejuruteraan. Walaubagaimanapun, pekerjaan kejuruteraan teknikal peringkat rendah juga mengalami kekurangan bakat. Oleh itu, mereka yang mempunyai kelayakan yang lebih rendah masih boleh memainkan peranan dengan menjadi penyelia pembuatan, penyelia pembinaan, mekanik, dan juruteknik. 

Pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi adalah jurutera awam, jurutera mekanikal, jurutera geoteknikal, jurutera hidraulik dan jurutera struktur. 

pursue an engineering degree

Bidang pengajian yang susah dapat kerja

Terdapat tiga bidang yang kurang menawarkan peluang pekerjaan iaitu sains, kesihatan dan pendidikan atau latihan. Maklumat ini diperolehi dari kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan jumlah bilangan kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui Unit Pusat Universiti (UPU) pada tahun lepas (2021).

Menurut kenyataan media rasmi KPM itu, hanya bidang sumber manusia sahaja tersenarai dalam jawatan popular yang ditawarkan oleh majikan. Hal ini agak membimbangkan kerana salah satu punca utama masalah pengangguran di negara ini adalah program pengajian yang diambil pelajar tidak seiring dengan permintaan industri semasa. Pihak universiti sepatutnya menawarkan bidang pengajian berkenaan yang berbeza daripada kepompong kebiasaan dan mula berfikir lebih kreatif serta inovatif untuk memastikan kebolehpasaran siswazah dapat ditingkatkan. Ianya merupakan proses persiapan dan persediaan mahasiswa menempuhi alam pekerjaan.

Masalah “mismatch” bidang kursus dengan keperluan kemahiran industri

Ramai graduan lepasan siswazah yang bekerja dalam bidang yang tidak sama dengan bidang pengajian mereka ketika di universiti disebabkan “mismatch” keperluan industri dan kursus yang ditawarkan universiti. Berdasarkan kaji selidik Graduan Malaysia oleh Jobstreet.com (2014-2016) graduan dalam bidang sains politik, kemanusiaan/seni liberal, sains dan teknologi mencatakan hanya 30% dan ke bawah sahaja yang bekerja dalam bidang sama. Mungkin data terbaru ada sedikit perubahan. Namun, perbezaan semestinya tidak begitu besar.

Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa jumlah graduan di Malaysia pada tahun 2020 adalah seramai 5.36 juta orang. Daripada jumlah itu 4.35 juta graduan berjaya mendapat pekerjaan walaupun situasi pandemik COVID-19 melanda negara.

Cara memilih bidang pengajian yang sesuai

Bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), keputusan pilihan bidang pengajian yang sesuai harus diambil serius dan harus bermula lebih awal lagi iaitu sebelum bermulanya peperiksaan SPM. Ada banyak kriteria yang perlu difikirkan dalam memilih bidang pengajian yang sesuai dengan pelajar dan minat mereka. Namun, keputusan SPM yang diperoleh boleh dijadikan ukuran untuk memilih aliran yang betul.

Tip untuk memilih bidang pengajian yang sesuai

1. Kenalpasti kebolehan diri

Sebelum anda memilih kursus di Institusi Pendidikan Tinggi Awam/Swasta (IPTA) atau Institusi Pendidikan MARA, pastikan anda telah mengkaji kebolehan diri. Contohnya, jika anda berkebolehan dalam memperbaiki kenderaan, anda boleh memilih aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Technical and Vocational Education Training – TVET). 

Sekiranya anda berkebolehan dalam bidang memasak, janganlah memilih kursus perubatan. Namun, sekiranya anda berkeyakinan tinggi untuk kursus lain selain daripada kebolehan anda, perkara tersebut tidak menjadi masalah. 

2. Pilih jurusan berdasarkan cita-cita

Jika anda telah memasang cita-cita untuk menjadi seorang jurutera, anda boleh memilih kursus kejuruteraan. Ini membantu meningkatkan semangat anda untuk belajar seiring dengan cita–cita anda. 

3. Minta nasihat daripada yang berpengalaman

Minta pendapat dan pandangan daripada seseorang yang lebih arif seperti kaunselor dan guru-guru anda. Anda juga boleh mengunjungi ke Karnival Pendidikan yang dianjurkan di seluruh negara pada setiap tahun. Teliti satu per satu pendapat dan pandangan mereka terhadap kursus-kursus yang telah memasuki senarai anda. Tindakan sebegini dapat mengurangkan bebanan anda untuk memilih dan membuat keputusan. 

4. Senaraikan kekurangan dan kelebihan bidang-bidang yang diminati

Sekiranya anda mempunyai beberapa pilihan kursus yang ingin anda ambil, lakukan kajian dahulu terhadap kesemua kelebihan dan kekurangan kursus-kursus tersebut. Langkah ini penting bagi mengelakkan berlaku penyesalan terhadap diri anda apabila tersalah membuat keputusan. 

5. Ambil kira peluang pekerjaan

Pastikan anda melihat peluang pekerjaan di pasaran bagi kursus yang anda ingin ambil. Pastikan juga sama ada kursus tersebut popular dalam kalangan lepasan SPM atau kurang mendapat sambutan. Ini amat penting untuk memastikan anda tidak mengalami masalah pengangguran mahupun persaingan yang kuat selepas tamat pengajian. 

Bidang pengajian di UOW Malaysia KDU

UOW Malaysia KDU adalah sebahagian daripada jaringan global Universiti Wollongong Australia. Universiti ini mempunyai sejarah yang panjang dalam memberikan pendidikan tinggi yang berkualiti dan mudah diakses.

UOW Malaysia KDU menawarkan program spektrum penuh dalam persekitaran pembelajaran kontemporari menggunakan kemudahan terkini, dari pra universiti atau asasi hingga ke ijazah sarjana muda dan program pascasiswazah. 

Ini termasuk program dalam bidang hospitaliti, pelancongan dan seni kulinari, pembangunan permainan dan pengkomputeran, komunikasi, seni kreatif, perniagaan, kejuruteraan, dan kejururawatan.

UOW Malaysia KDU komited untuk menyediakan pendidikan tinggi yang terkemuka di Malaysia. Komitmen ini menggabungkan program pengajaran UOW Malaysia KDU yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan pendekatan yang diperibadikan kepada pelajar dengan pengalaman beroperasi selama lebih 38 tahun di Malaysia, kampus moden dan program yang bertenaga dan berfokuskan industri. UOW Malaysia KDU telah memberi manfaat yang lebih luas dengan melahirkan pertumbuhan pelajar antarabangsa dan graduan sedia industri.

Pelajar boleh mendapatkan maklumat mengenai UOW Malaysia KDU daripada kakitangan mereka untuk mendapatkan nasihat mengenai pelbagai program yang ditawarkan, peluang melanjutkan pengajian termasuk program ditawarkan mengikut kesesuaian kelayakan akademik seseorang pelajar, dan halatuju pengajian seterusnya. Ini bagi memudahkan pelajar untuk membuat keputusan yang tepat dalam melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian yang diminati.

Maklumat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian yang anda inginkan atau minat atau mengikuti keperluan pasaran kerja semasa yang ada di luar sana. Pilihan yang anda buat bakal membentuk dan merealisasikan matlamat negara kita untuk mencapai negara maju berpendapatan tinggi. Misi ini haruslah dijadikan misi bersama.

分享

27 October 2022

CATEGORY

Education and Career