UNDI18: Peranan dan Tanggungjawab Generasi Muda


Pada 16 Julai 2019, sejarah baru tercipta di Malaysia di mana Undi18, iaitu satu kempen telah berjaya untuk melayakkan golongan muda berumur 18 tahun  untuk mengundi dan menjadi calon dalam pilihan raya. Perubahan ini direalisasikan oleh seorang wakil rakyat muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Ini ialah bukti pemerkasaan demokrasi yang dimulakan oleh anak muda. 

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperolehi sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen iaitu lebih dari dua pertiga persetujuan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas dua kali undian dilakukan.

Hasilnya, umur mengundi dan kelayakan menjadi wakil rakyat di Malaysia diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun. 

Perlaksanaan Undi18

Keputusan ini dibuat berikutan Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bahawa Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini. Putrajaya akur dengan keputusan tersebut. Perubahan ini menunjukkan Malaysia telah bersedia untuk mencontohi demokrasi negara maju dan negara membangun yang lain. 

Mengikut garis panduan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Convention on the Rights of the Child), umur 18 tahun ini diiktiraf sebagai cukup dewasa dan boleh membuat keputusan. 

Pada usia 18 tahun seseorang itu mampu,

  1.     Menyumbang kepada sosioekonomi masyarakat.
  2.     Memikul tanggungjawab kerakyatan.
  3.     Tertakluk dibawah kontrak perjanjian.
  4.     Membayar cukai.
  5.     Diberikan hak untuk berkahwin.
  6.     Bekerja.
  7.     Bertanggungjawab penuh kepada diri sendiri. 

Majoriti negara di Eropah telah pun menurunkan had umur minima pengundi kepada 18 tahun sejak dari era 60an. Manakala di Asia pula, kebanyakan umur mengundi di negara yang mempunyai demokrasi yang aktif dan progresif seperti Bangladesh, Hong Kong, India, Iran, Iraq, Jepun, Korea dan Pakistan ialah seawal usia 18 hingga 19 tahun.

Selain itu, ia merupakan satu langkah ke hadapan untuk memastikan jumlah yang menentukan pemimpin negara betul-betul diwakili oleh semua peringkat umur.

Undi18 dapat memberi kesegaran dari segi kepimpinan parti politik dan dasar kerajaan dalam jangka masa yang panjang. 

Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memastikan perkara-perkara yang membabitkan peraturan dan perundangan bagi pelaksanaan dua perkara itu selesai menjelang 31 Disember 2021, dan ia sedia digunakan pada awal tahun 2022.

Belia 18 tahun – matang dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara

Pelaksanaan Undi18 akan bermula pada Februari tahun 2022, di mana pilihan raya di negara ini akan menggunakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi pengundi yang berusia 18 tahun.

Kematangan seseorang tidak boleh diukur dari segi usia, sebaliknya ia boleh ditampilkan melalui perilaku dan cara berfikir. 

Sehubungan dengan itu, hak mengundi ini wajar diberikan kepada individu yang telah pun mencapai umur 18 tahun kerana mereka mampu menyumbang kepada sosioekonomi masyarakat, memikul tanggungjawab kerakyatan, tertakluk di bawah kontrak perjanjian, dibolehkan membayar cukai dan diberikan hak untuk berkahwin, bekerja, dan bertanggung jawab penuh kepada diri sendiri.

Situasi ini mampu menjelaskan bahawa hak mengundi wajib diberikan kepada orang yang berfungsi sebagai ahli masyarakat dan rakyat, dan bukannya kerana pengetahuan dan kematangannya dalam bidang politik.

Kenapa perlunya pemimpin muda yang baru?

Pemimpin muda yang dinamik dan progresif mampu membawa negara menuju kejayaan yang diimpikan oleh semua. 

Sebelum ini mereka yang berumur 21 tahun dan ke atas sahaja yang layak untuk mengundi dan menjadi calon dalam pilihan raya. Hasilnya, mereka hanya matang selepas 10 tahun terbabit dalam bidang politik dan kepimpinan.

Kesannya nanti, politik dan kepimpinan negara hanya akan dibarisi oleh golongan tua dan akan kurangnya tenaga muda. Akhirnya golongan muda akan merasakan yang politik dan kepimpinan ini hanyalah untuk golongan tua, dan mereka akan menjauhinya.

Apabila ini berlaku sudah pasti negara akan berhadapan dengan krisis kekurangan pemimpin pelapis dan kita akan ketandusan pemimpin hebat dalam negara.

Pada masa yang sama, Undi18 dilihat dapat memberi peluang kepada golongan muda untuk terlibat aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara. Mungkin selepas ini kita boleh melihat lebih ramai golongan muda menjadi pemimpin, baik di peringkat persekutuan mahu pun negeri. 

Bukan itu sahaja, Undi18 mampu melahirkan bakal pemimpin yang matang dan berkualiti. Anak muda Malaysia hari ini hanya mahukan keadilan saksama untuk semua. 

Namun, jika mereka ini tidak diberi peluang dari sekarang maka proses untuk melahirkan pemimpin muda sebagai pemacu politik negara akan mengambil masa yang lama. 

Peranan golongan muda dan bagaimana mereka boleh melibatkan diri

Penurunan umur minimum mengundi dan bertanding sebagai ahli dewan rakyat dilihat mampu memberi lebih masa kepada golongan muda mendekati dan mendalami arena politik dan kepimpinan negara. 

Apabila terdapat ramai wakil golongan muda dalam arena politik sudah tentulah suara generasi muda ini akan lebih didengari.

Idea – idea generasi muda yang terbaru dan kontemporari boleh dikongsikan dengan kepimpinan negara dalam mencorakkan dasar – dasar negara yang lebih berkesan. 

Gabungan intelek muda dan pengalaman golongan tua ini sudah pastilah mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.

Kesedaran politik melalui pendidikan

Justeru itu, pihak kerajaan perlu komited untuk mendidik pelajar sekolah dan belia mengenai sistem demokrasi negara termasuk negara yang lain untuk mewujudkan kesedaran politik sepertimana yang dicadangkan oleh Jawatan Kuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC). 

Pendidikan mampu mematangkan golongan pengundi muda untuk memilih individu atau kelompok yang dilihat boleh memimpin Malaysia menjadi sebuah negara yang progresif di masa hadapan. 

Dengan ilmu pendidikan pengundi dan Undi18, ia dapat mengelakkan generasi muda daripada mempunyai sikap ‘tidak minat politik’. Ramai kalangan pelajar sekolah  didapati  mempunyai tanggapan negatif mengenai politik negara. 

Malah terdapat juga  yang tidak kenal dengan Jemaah Menteri, tidak tahu mengenai sistem pemerintahan serta perundangan negara dan tidak ambil peduli mengenai isu-isu semasa. 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, beberapa inisiatif dalam usaha memastikan pengundi yang berumur 18 tahun keluar mengundi sedang giat dijalankan. Program pendidikan pengundi yang diadakan bertujuan mendekati pengundi belia dan memberi kefahaman tentang proses pilihan raya.

Contoh terbaik negara yang mengamalkan pendidikan pengundi ialah Australia. Ilmu pendidikan pengundi di Australia diberikan kepada semua lapisan masyarakat dan ia bermula sejak dari sekolah rendah. Modul demokrasi dan pilihan raya diajarkan dalam semua subjek pendidikan sejak mereka berumur tujuh tahun. 

Pelajar diperkenalkan mengenai asas demokrasi, kepentingan mengambil bahagian dan membuat pilihan. Paling menarik, subjek pilihan raya ini diubah kepada satu bentuk yang menarik minat dan tidak membebankan. Usaha ini dipercayai dapat menyedarkan golongan muda mengenai kepentingan keluar mengundi apabila tiba masanya kelak. 

Peluang untuk Pemimpin Politik Muda untuk jadi Calon Pilihan Raya

Ruang yang diberikan melalui Undi18 akan melihat lebih ramai golongan muda terlibat aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara dan menjadi pemimpin baik di peringkat persekutuan mahu pun negeri.

Walaupun ada pihak yang ragu-ragu dengan kemampuan golongan muda, tetapi peluang sebegini dilihat sebagai jalan terbaik untuk negara melahirkan bakal pemimpin berkaliber untuk masa hadapan. 

Kebolehan memperolehi pelbagai maklumat di hujung jari, menjadikan golongan muda lebih terbuka dalam membuat keputusan. 

Sebenarnya semakin awal golongan muda diberikan hak untuk terlibat di dalam proses demokrasi, semakin cepat jugalah mereka bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan negara.

Kita tidak mahu negara kekurangan pemimpin yang berwibawa. Hasilnya, 

  1. Rakyat tidak mempunyai pilihan untuk memilih wakil yang sesuai untuk memperjuangkan hak mereka.
  2. Mereka terpaksa memilih wakil rakyat ‘kitar semula’ kerana tiada golongan pemimpin pelapis berwibawa.
  3. Pilihan pemimpin yang terhad menyebabkan rakyat bosan dengan situasi semasa dan mengambil jalan mudah untuk tidak ambil tahu.
  4. Tidak mustahil situasi ini boleh menyebabkan negara kita tidak mampu bersaing dengan negara lain dan kekal di takuk lama.

Mewakili suara generasi muda

Undi18 mampu mengubah gaya politik lama. Golongan muda harus membuktikan mereka mampu menawarkan wadah baharu politik yang lebih segar.

Mereka boleh membuktikan bahawa, golongan muda yang berintelektual tinggi dan cerdas perjuangan tidak taksub dengan ideologi kepartian yang kerap menidakkan kebenaran dan keadilan.

Selain itu, Undi18 berpotensi menjadikan generasi muda ‘tulang belakang’ untuk menjayakan agenda penyuburan demokrasi.

Golongan muda mampu terbabit dalam proses mempengaruhi dasar awam secara intelektual dan matang selain meneruskan semangat dan dasar perjuangan melalui cabang legislatif.

Apabila mereka terpilih menjadi wakil rakyat, barisan golongan muda akan semakin kukuh. Jika mereka terpilih menganggotai Jemaah Kabinet mereka boleh memberikan pelajaran politik baharu kepada masyarakat.

Tiada lagi mempraktikkan politik lama yang hanya mementingkan kuasa dan kekayaan yang datang dengan kedudukan. 

Apa yang pasti golongan muda sudah muak dengan gaya elit politik hari ini yang sentiasa bergelut untuk berkuasa sehingga tidak lagi mampu untuk membezakan antara tanggungjawab kepada rakyat dengan kelangsungan politik peribadi.

Isu-isu anak muda harus diketengahkan demi kemajuan negara 

Apabila tiada wakil dari golongan muda, isu-isu yang membabitkan mereka selalunya dipandang sepi oleh pihak yang sepatutnya.

Antara isu yang merisaukan golongan muda Malaysia pada hari ini ialah isu pendidikan, peluang pekerjaan, kesaksamaan, rasuah dan perpaduan.

Keadaan politik negara yang tidak stabil sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 14 menyebabkan anak muda semakin hilang kepercayaan terhadap ahli politik. Suara mereka terpinggir dan tidak diperjuangkan secara bersungguh-sungguh. 

Sepatutnya wakil rakyat atau ahli politik melibatkan golongan muda dalam politik dan pembinaan negara supaya dapat memastikan polisi yang dibuat bakal memberi manfaat kepada golongan muda.

Sebagai contoh, golongan muda sebenarnya menerima kesan daripada dasar-dasar dan undang-undang negara tetapi mereka tidak boleh mempengaruhi atau menyakinkan pihak pemerintah mengenai hak mereka.

Undi18 dijangka akan meningkatkan kesedaran golongan muda mengenai pemahaman mereka berkenaan isu semasa seperti pinjaman pendidikan, kos sara hidup, sosioekonomi belia dan sebagainya.

Lebih baik pemahaman golongan muda terhadap isu-isu semasa, lebih bijak pilihan yang akan dibuat demi masa hadapan negara.

Arah tuju negara bakal ditentukan oleh anak muda hari ini

Menjelang PRU15, dipercayai sebanyak 7.8 juta pengundi baharu bakal bertambah. Daripada jumlah ini 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun.

Pertambahan ini menunjukkan jumlah pengundi baru mewakili 34% daripada keseluruhan jumlah pengundi. Dalam kata lain, tiga daripada sepuluh pengundi ialah pengundi baru.

Kehadiran pengundi baru ini mampu mengubah senario politik semasa jika semua pengundi tersebut keluar mengundi semasa pilihan raya yang akan datang.

Wakil rakyat dari golongan muda juga bakal membawa sinar baru kepada generasi muda dan keseluruhan rakyat Malaysia.

Tidak dinafikan keputusan golongan muda membuat pilihan bakal dipengaruhi oleh ibu bapa, rakan sebaya, media dan pemimpin. Namun, mereka tidak terikat dengan kesetiaan kepada parti dan lebih berdasarkan kepada isu semasa yang akan menjejaskan atau menentukan masa hadapan mereka.

Bagaimana daftar mengundi?

Pelaksanaan Undi18 akan bermula pada Februari tahun 2022, di mana pilihan raya di negara ini akan mengunakan pendaftaran pemilih secara automatik bagi pengundi yang berusia 18 tahun pada tahun hadapan.

Perlaksanaan sistem ini bakal melihat tiada warganegara berusia 18 tahun dan ke atas yang akan terkecuali daripada didaftarkan sebagai pengundi.

Kesimpulan

Generasi muda perlu melengkapi diri dengan ilmu pengundi dan sistem demokrasi. Manfaatkan peluang yang ada dengan sebaik mungkin.

Hari ini, mereka bukan lagi golongan yang hanya perlu mendengar dan mengikut apa sahaja arahan yang datang dari generasi tua tetapi kini mereka juga telah mempunyai hak untuk membuat keputusan dan mencorakkan masa depan negara.

Adalah diharapkan generasi muda kini dapat menggunakan hak yang mereka miliki dengan bijak, matang dan berkesan. Undi ialah pilihan peribadi. Tiada undi yang salah, tetapi hak itu harus diberi kepada semua rakyat muda Malaysia. 

Share

31 December 2021

CATEGORY

General News